BEIJING: Xi Jinping mempertahankan kedudukan sebagai Presiden China bagi penggal ketiga berturut-turut selepas dipilih semula dalam Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14 pada Jumaat.

Xi telah dipilih dalam Perhimpunan Agung pertama Kongres di ibu negara Beijing melalui undian sebulat suara ekoran tiada pencabar.

Sementara itu, Han Zheng dipilih sebagai naib presiden China manakala Zhao Leji dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China ke-14, lapor Agensi Anadolu.

Dilantik sebagai presiden pada 2013 dan 2018 serta telah berkhidmat selama 10 tahun, kedudukan Xi kini menjadikan beliau pemimpin pertama dalam sejarah China yang memegang jawatan presiden buat kali ketiga.

Beliau juga akan berkhidmat sebagai ketua Suruhanjaya Tentera Pusat.

Pada 2018, Ahli Parlimen China meluluskan pindaan perlembagaan yang memansuhkan had dua penggal presiden justeru membolehkan Xi terus memerintah.

-- BERNAMA